Saturday, January 25, 2014

kenangan itu

Mentari kian merah di ufuk barat. Aku masih di sini. Berdiri tegak memandang ke arah cahaya itu. Yang tidak pernah menjemukan pandangan mata. Pemandangan indah yang ingin aku dakap dan simpan sebagai memori tatkala mentari itu sudah mulai tenggelam. Jauh ke dasar lautan. Tidak dapat aku telusuri dalamnya lautan itu untuk mencari kembali mentari yang aku mahu lihat.

Berdiri di gigi air. Aku memainkan kaki ini di pepasiran yang kian basah dek kerana tujahan ombak dari lautan. Saat ia mulai kering, ia jadi basah kembali. Ternyata ombak ini tidak pernah surut. Sentiasa memukul pantai. Memukul pepasiran tersebut. Sebagai memberi tanda bahawa ia tak pernah meninggalkan pasir-pasir tersebut. Hanya hilang sebentar ke laut, namun beberapa ketika ia kembali semula menghempas pepasiran itu. Saat peninggalannya juga pasir itu tetap basah. Belum sempat ia mengering, ombak datang lagi menghempas. Wahai pasir, adakah kau menanti kedatangan ombak itu?

Aku merenung jauh ke hujung sana. Lautan yang luas ini kulihat seluas pandanganku. Tiada lain yang aku lihat melainkan lautan ini. Ingin sahaja aku melepaskan keluhan ke dalam lautan ini, namun wahai lautan apakah kau mengerti? Aku memandang ke kawasan gigi air di hujung sana. Berdekatan dengan sebuah batang kayu yang tedampar sepi di situ. Hanya sebatang, mengering dan lokasinya agak jauh dari tempat ombak menghempas tepian pantai. Ada seorang gadis sedang duduk di sebelah batang kayu itu. Sambil bersila, ada sesuatu dalam genggamannya. Gadis itu menangis. Suaranya tidak kedengaran, hanya air mata menjadi bukti kesedihan. Mengapa kau bersedih keseorangan disitu?

Aku hanya mampu melihat. Jauh di penghujung sana, aku lihat senyuman seorang gadis yang aku kira itulah senyuman paling ikhlas dalam dunia. Keceriaan terpampang di raut wajah, lebih tepat lagi aku lihat sinaran mata itu bersinar bak cahaya mentari yang aku lihat tadi. Redup dan menenangkan namun sangat menyilaukan.

Aku tidak tahu kenapa ramai manusia yang aku lihat di sini dapat aku lihat dengan jelas ekspresi wajah mereka. Padahal aku bukan berada dekat dengan mereka. Terlalu jauh. Namun dapat aku lihat dengan jelas ekspresi wajah-wajah itu.



Kenangan itu masih bersisa. Walaupun hanya umpama sebutir pasir di kaki.

No comments:

Post a Comment