Thursday, October 17, 2013

suatu petang tidak bernama

Petang itu aku lapar.
Dari pagi aku tidak turun makan.
Aku hanya makan roti dengan air.
Itupun sebab aku habiskan masa dengan tidur.
Memang lapar itu tidak terlalu aku rasakan.

Aku menghayun langkah ke arah kedai yang tidak bernama.
Ku lihat ada seorang perempuan lingkungan 30 an disitu.
Tapi dia bukan pekerja di situ.
Isteri pakcik ini barangkali kerana ada seorang budak kecil di sampingnya.
Mukanya tidak mempamerkan senyuman.
Ketawa apatah lagi.

Aku mahu senyum tapi aku takut kalau-kalau aku dimakan nanti.
Mana tahu mungkin dia jenis yang makan manusia.
Aku pandang pakcik itu "pakcik, nak laksa satu".
Pakcik itu menganggukkan kepala tanda mengerti.
Lantas terus melakukan tugasnya seperti biasa.
Lagaknya seperti baru berniaga kerana masih kekok dan tidak cekap mengendalikan laksa itu.

Aku senyap sambil melontarkan pandanganku ke arah budak kecil itu.
Dia main kapal terbang kertas.
Berlari-lari sambil memegang kertas itu.
Perempuan muda itu menjerit secara tiba-tiba.
Dia marah pada anak kecil itu.
Dek kerana dia berlari-lari anak dengan angan-angan kecilnya.
Aku pelik kenapa dia marah.
Apa salah budak kecil itu.

Aku lihat baju perempuan muda itu.
Tertera 7Eleven.
Mungkin perempuan ini baru pulang dari kerja.
Kepenatan terpancar pada riak wajahnya.
Air mukanya nampak tidak tenang.
Kerutan di dahinya terserlah.
Seperti sedang memikirkan sesuatu.
Senyuman langsung hilang dari wajah itu.
Aku khuatir dia akan makan anak itu sebentar lagi.
Arghh tidak. Dia bukan jenis yang makan orang.
Pada raut wajahnya terpancar seribu satu masalah yang terpendam.

Pakcik itu menghulurkan sebungkus laksa kepadaku.
Aku menghulurkan wang berjumlah cukup-cukup RM3.50
Aku teringat akan masalah yang membelenggu aku semalam.
Ku kira aku adalah orang yang paling malang pada masa itu.
Namun ada mereka yang punya masalah lebih besar daripada aku.

''Macam mana besar dan beratnya masalah kita, ada orang yang lagi rasa susah daripada kita sekarang. Bersangka baiklah dengan aturan Allah. Akan ada jalan yang terbaik menanti di hadapan. Sabar itu INDAH''


No comments:

Post a Comment