Wednesday, September 18, 2013

pintu misteri

Yes akhirnya tercapai jua hasrat nak berjogging di taman itu. Pagi itu kami berjalan ke kawasan perumahan tersebut. Aku kecilkan skop lagi, ianya adalah sebuah taman permainan. Untuk kanak-kanak dimana terdapat banyak buaian, gelongsor, dan paling best ada track untuk jogging. Track berbatu yang disimen di rumput itu terdiri dari 5 baris kelebarannya. Aku pun tak sempat nak ukur betul-betul sebab khusyuk sangat berlari.

Hari pertama kami datang ke situ. Aku dapat rasakan udara pagi yang segar meresap masuk ke dalam rongga-rongga kulitku. Terkadang sejuk terasa tatkala angin menampar pipi ini. Namun aku biarkan, aku tidak menekup pipiku kerana aku mahu angin lembut itu menyapaku. Aku sentuh pipi yang aku fikirkan sejuk. Tapi kehangatan yang aku rasakan. Adakah kerana jari-jemariku sejuk tatkala itu? Ataupun jari-jemariku tersentuh air hangat yang menitis di birai pipi? Aku tidak menangis. Mengapa perlu ada air hangat melekat disitu. Barangkali hingus? Tapi aku tidak menghidap selsema pada waktu itu. Oh mungkin jari-jemariku yang sejuk. Itu konklusi awal yang dapat aku fikirkan terhadap kejadian itu.

Aku berlari. Aku berlari dengan kelajuan sederhana laju. Sambil menadah muka disapa bayu pagi. Aku mahu bernafas dengan suasana segar seperti itu. Sudah lama aku tidak memanjakan diri menyapa bayu di waktu pagi. Di rumah bukan aku keluar rumah pada waktu begini. Pulang ke asrama la masa untuk aku berjalan keluar pada waktu pagi, di saat matahari baru mula memunculkan diri, cahayanya menyelinap perlahan di sebalik pepohonan yang merimbun di sekitar itu. Yang aku kira kepanasan itu bukannya panas terik yang aku rasakan, tapi terasa bahang-bahang sederhana yang tidak terlampau mencarak panasnya. Aku suka akan bauan ini. Bauan dedaun segar di pagi hari yang menenggelamkan aku dalam ilusi aku sendiri. Membuat aku tercampak dalam satu ruang yang aku tidak tahu tempatnya. Cukup untuk buat aku menelusuri perjalanan aku sendiri walaupun perjalanan itu tidak wujud di kawasan itu.

pintu berkaca


Pandangan aku terhenti. Aku melihat banyak pintu di depanku. Pintu-pintu itu ada yang terbuka, ada yang tertutup rapat, ada yang separuh terbuka. Namun aku tidak tahu pintu-pintu apakah itu. Adakah ia sebenarnya pintu yang sama kerana corak dan ukiran yang terdapat pada pintu memang tiada langsung bezanya.  Bezanya Cuma pada keadaan pintu-pintu tersebut. Aku cuba pejamkan mata. Ingin melarikan diri dari pintu-pintu misteri itu. Pintu yang aku tidak tahu dari mana datangnya. Aku hanya mampu melihat pintu. Dan aku tidak mampu menjengah walau menjeling dengan ekor mata bagaimanakah rupanya keadaan di sebalik pintu itu. Adakah keindahan yang akan aku lihat ataupun sebaliknya? Tatkala aku membuka mata, pintu-pintu itu masih disitu. Tidak berubah walau seinci pun. Aku pejamkan mata semula, tidak mahu melihat pintu-pintu di hadapanku. Namun saat aku pejamkan mata, berbagai-bagai perasaan datang menjengah. Mengetuk-ngetuk dinding hati ini agar terus membuka mata supaya aku dapat melihatnya.


Aku terasa badanku lemah dan ingin rebah. Namun aku gagahi jua untuk bertahan supaya aku tidak jatuh di hadapan pintu-pintu itu. Selangkah kaki kanan ku hayunkan ke hadapan, selangkah jua kaki kanan itu menghayunkan langkah ke belakang. Aku tidak tentu arah. Apa yang terjadi kepada kaki ini. Kenapa ia mahu bermain teng teng disini. Tapi dalam versi melangkah, bukan melompat. Aku menghayunkan kaki kiri pula ke hadapan, dengan niat ingin menapak dan menuju kea rah pintu itu. Walaupun mata ku masih terpejam. Namun kaki itu mengundurkan langkahnya semula ke belakang. Aku seperti dapat memahami. 

Mungkin kaki ini mampu ku hayunkan terus ke hadapan andai kedua-dua mataku tidak kupejam rapat. Mungkin kaki ini akan terhayun dengan perlahannya ke hadapan seandainya kedua-dua kelopak mata ini kubuka. Aku cuba untuk membuka mata. Pelupuk mataku berat seperti ada magnet yang mencantumkan kedua-dua belah kelopak mata ini. Setelah berkali-kali mencuba, aku berjaya. Wajah yang kelihatan dihadapanku ialah Syasya. Wajahnya kelihatan termengah-mengah seperti baru lepas berlari. Dia mengajak aku pulang. Kami berjalan menuju ke asrama dan sebelum memasuki pintu lif, sempat kami singgah ke gerai kuih untuk membeli karipap. Karipap yang berharga empat puluh sen sebiji itu kami beli seorang dua biji. Aku lihat ke langit, mentari sudah bersinar dengan terangnya, tanpa segan silu lagi. 



No comments:

Post a Comment